GAMBAR dimuat naik Johnson di Twitter yang menjadi tular di media sosial. FOTO Agensi
Agensi

WASHINGTON: Gambar seorang lelaki yang dianggap sayangkan isteri kerana sanggup berdiri selama enam jam dalam pesawat penerbangan di Amerika Syarikat bagi membolehkan isterinya tidur di tempat duduk, tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Menurut laporan Daily Mail, gambar itu dikongsi Courtney Lee Johnson dari Indiana, Amerika Syarikat melalui Twitter ketika mereka menaiki penerbangan jarak jauh.

Bagaimanapun, wanita itu dia tidak menyatakan secara terperinci mengenai pesawat syarikat penerbangan yang dinaiki itu serta destinasi.

Menerusi keterangan gambarnya, Courtney yang juga pakar motivasi, menganggap tindakan lelaki itu adalah bukti cinta namun ramai netizen menganggap wanita terbabit mementingkan diri sendiri.

“Lelaki ini berdiri selama enam jam untuk membolehkan isterinya tidur. Ia adalah cinta,” tulisnya.

Akaunnya kemudian dibanjiri dengan kecaman lebih 1,000 netizen yang memberi pelbagai reaksi negatif kerana menganggap ia bukan sesuatu yang wajar dipuji.

Sebahagian besar netizen mempersoalkan kesahihan gambar itu selain berpendapat syarikat penerbangan tidak sepatutnya membiarkan penumpang bersikap sedemikian.

Ramai meminta Courtney mendedahkan nama syarikat penerbangan itu kerana tidak percaya dengan cerita disebarkannya.

“Itu bukan cinta. Mungkinkah ada sebarang syarikat penerbangan membenarkan penumpangnya berdiri selama enam jam dalam pesawat?” soal seorang netizen.

“Sebagai seorang yang sering menaiki kapal terbang, saya tidak rasa kru kabin akan membiarkan penumpang berdiri walaupun selama satu minit,” kata seorang lagi netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 7:00 AM