SYARIKAT Central Japan Railway akan membatalkan atau menangguhkan sekitar 50 perkhidmatan tren kelajuan tinggi
Reuters

TOKYO: Penerbangan dan perkhidmatan tren di bandaraya ini dibatalkan menjelang ketibaan Taufan Faxai yang diramal melanda rantau itu malam esok.

Sebagai persediaan, syarikat Central Japan Railway akan membatalkan atau menangguhkan sekitar 50 perkhidmatan tren kelajuan tinggi antara Tokyo dan Osaka bermula jam 5 petang, esok.

Syarikat Penerbangan Jepun sudah membatalkan kira-kira 20 penerbangan di dua lapangan terbang di Tokyo.

Menerusi kenyataannya, syarikat itu memberi amaran lebih banyak penerbangan dijangka dibatalkan serta akan berlaku kelewatan penerbangan.

Agensi Meteorologi Jepun dalam satu kenyataan di laman webnya berkata, taufan itu membawa angin mencecah kelajuan 216 kilometer sejam berserta hujan lebat.

Faxai dijangka menurunkan sebanyak 300 milimeter air hujan dalam tempoh 24 jam dan rantau lain di Jepun berpotensi terjejas oleh ribut terbabit.

Stesen televisyen NHK dalam laporannya turut memberi amaran angin kencang boleh memutuskan bekalan elektrik dan merosakkan kediaman, manakala hujan lebat akan menyebabkan banjir serta tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 1:22 PM