POLIS trafik di Putian menggunakan dron untuk mengawasi pemandu. FOTO AP
Agensi

BEIJING: Polis trafik di China kini menggunakan dron untuk memantau keselamatan lalu lintas di bandar Putian, Fujian.

Rabu lalu, seorang penunggang motosikal terkejut apabila menerima arahan daripada dron untuk memakai topi keledar ketika berhenti di lampu isyarat merah.

“Lelaki muda kacak berpakaian hijau tua dan bercermin mata yang menunggang skuter elektrik hitam, sila pakai topi keledar!” kata polis menerusi dron itu.

Kejadian itu dirakam orang awam dan menjadi bualan hangat netizen selepas dimuat naik di media sosial oleh stesen televisyen CCTV kelmarin.

Menurut South China Morning Post, polis Putian menggunakan dua dron dilengkapi sistem penyiaran elektronik bunyi untuk mengawasi pemandu dan penunggang motosikal sejak September tahun lalu.


SEORANG penunggang motosikal diarahkan untuk memakai topi keledar. FOTO Weibo

Kaedah itu membolehkan polis mengenal pasti 2,184 kesalahan trafik sejak awal tahun ini, lapor laman web berita Thepaper.cn.

Seramai 10 anggota polis terbabit dalam kawalan dron berkenaan yang boleh terbang setinggi 50 meter dengan tempoh penerbangan selama 30 minit.

Menurut jurucakap polis, terdapat beberapa kenderaan tidak mempunyai plat nombor pendaftaran, pemandu melanggar lampu isyarat merah, melawan aliran trafik dan tidak memakai topi keledar.

Namun, ada pihak mentang inisiatif itu susulan lebih 400 saman kesalahan trafik dikeluarkan pada Februari lalu di Nanning, Guangxi selepas dron digunakan untuk memantau keselamatan lalu lintas di bandar itu.

Sejak beberapa tahun lalu, China membangunkan dron berteknologi tinggi untuk kegunaan tentera.

Bulan lalu, 600 dron dikendalikan kerajaan digunakan dalam persembahan patriotik di sempadan Shenzhen- Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 7:00 AM