VLADIMIR Tsemakh
AFP

THE HAGUE: Belanda menyuarakan kebimbangan tidak berpeluang menyoal lelaki Ukraine yang disyaki terbabit dalam menembak jatuh pesawat MH17 selepas mahkamah di Kiev membebaskannya sementara menunggu perbicaraan.

Pembebasan Vladimir Tsemakh, 58, pakar pertahanan udara pemisah pro-Russia, mengundang spekulasi kerana menjadi sebahagian daripada pertukaran banduan dengan Russia.

“Kami mahu dia bersedia untuk disiasat dan sudah pasti kesal kerana siasatan tidak dapat dijalankan jika dia dibebaskan,” kata jurucakap pasukan Penyiasatan Bersama MH17, Brechtje van de Moosdijk kepada AFP.

Katanya, perbicaraan empat suspek MH17 yang lain akan dibuat di Belanda tahun hadapan mengikut perancangan.

Menteri Luar Belanda, Stef Blok memberitahu dia akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa Ukraine, katanya yang dipetik agensi berita Belanda, ANP.

Hakim di Kiev pada Khamis lalu memutuskan untuk melepaskan Tsemakh - yang didakwa atas tuduhan keganasan pada Jun lalu - dengan jaminan, bersertakan amaran dia tidak cuba melarikan diri.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, Kremlin bertegas agar Tsemakh menjadi sebahagian daripada pertukaran banduan secara besar-besaran dengan Kiev yang kini hampir selesai.

“Kami sangat bimbang sekiranya dia akan terus hilang untuk diadili bagi kes jenayah itu. Dia antara suspek utama,” kata Pengerusi Yayasan Mangsa MH17 Belanda, Piet Ploeg yang yakin Tsemakh akan mengambil peluang untuk menghilangkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 9:05 PM