BORIS JOHNSON
Reuters

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menerima dua tamparan hebat semalam apabila parlimen meluluskan rang undang-undang menghalang negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU) tanpa sebarang perjanjian pada 31 Oktober ini.

Anggota parlimen juga menolak usul Johnson untuk mengadakan pilihan raya umum dua minggu sebelum tarikh dijadualkan Britain keluar dari EU atau dikenali sebagai Brexit.

Rang undang-undang itu akan memaksa kerajaan memohon penangguhan Brexit selama tiga bulan daripada keluar dari EU tanpa sebarang perjanjian.

Ketua pembangkang dari Parti Buruh, Jeremy Corbyn berkata, dia bersetuju untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal sekiranya rang undang-undang itu diluluskan Dewan Pertuanan untuk menjadi undang-undang yang mungkin berlaku pada Isnin ini.

Perkembangan terbaru di parlimen Britain itu menyebabkan masa depan Brexit tidak menentu dengan kemungkinan adanya perjanjian untuk keluar dari EU atau meminggirkan keseluruhan proses itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 10:28 AM