GAMBAR dari udara menunjukkan kemusnahan di Pulau Abaco, Bahamas selepas dilanda taufan Dorian kelmarin. - Reuters
Reuters

SEBAHAGIAN Bahamas musnah akibat dibadai taufan Dorian selama tiga hari dan kini, pihak berkuasa bertungkus-lumus mengelak bencana itu menjadi malapetaka kemanusiaan.

Tinjauan dari udara menunjukkan keadaan Pulau Great Abaco ditenggelami air, bangunan musnah, bot terbalik dan kontena bertaburan seperti permainan Lego.

Banyak dinding dan atap bangunan tercabut.

Kelajuan angin Dorian dikurangkan kepada ribut Kategori 2 namun saiz taufan itu dilaporkan semakin membesar dan mula menambah kelajuan menuju Florida, Amerika Syarikat.


GAMBAR menunjukkan bot bertaburan di sebuah marina di Pulau Andros, Bahamas. - AFP

Menurut pakar kaji cuaca, dalam tempoh 36 jam taufan itu akan menghampiri pantai timur Florida dengan lebih sejuta penduduk sudah diarah berpindah.

Perdana Menteri Bahamas, Hubert Minnis, mengesahkan jumlah mangsa yang terkorban dalam bencana itu meningkat kepada tujuh orang.

“Kami menjangka jumlah korban akan meningkat kerana ini hanya maklumat awal.

“Marsh Harbor teruk terjejas dan hampir 60 peratus rumah penduduk rosak atau musnah.

“Daerah Mud musnah sama sekali,” katanya.

Menurut Minnis, ketika tinjauan beliau melihat penduduk melambai meminta tolong di kawasan penempatan di Coopers Town di Great Abaco selepas kawasan itu terputus hubungan akibat banjir.


KAWASAN perumahan di barat laut Bahamas yang musnah. - Agensi

Konsulat Besar Bahamas di Washington, Theo Neilly berkata, jumlah sebenar kematian akan diketahui apabila anggota penyelamat tiba di kawasan yang terjejas.

“Kami menjangka kemusnahan yang besar,” katanya.

Britain dan Amerika sudah menghantar kapal masing-masing ke Bahamas.

Pertubuhan Palang Merah pula meramalkan lebih 13,000 rumah musnah atau rosak teruk akibat taufan paling kuat melanda Bahamas.


SEORANG kru helikopter menyelamat memeriksa kediaman penduduk. - EPA

Pihak berkuasa kini dilaporkan berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan, air bersih.

Menurut Pusat Taufan Nasional (NHC) Amerika, Dorian dengan kelajuan angin 175 kilometer sejam kini bergerak selaju 9 kilometer sejam ke barat laut menuju Cape Canaveral, Florida.

“Dorian dijangka kekal menjadi taufan yang kuat dalam tempoh beberapa hari lagi,” kata NHC.


SATU keluarga dipindahkan ke kawasan selamat selepas kediaman mereka di Freeport, Bahamas ditenggelami air. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 8:28 AM