PASUKAN penyelamat berjaya menemui tujuh mayat mangsa banjir kilat. FOTO AFP
Reuters

KENYA: Enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak dan seorang pemandu pelancong maut apabila dilanda banjir kilat di Taman Negara Hell’s Gate di sini, kata pihak berkuasa hidupan liar negeri, hari ini.

Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) menerusi Twitter berkata, insiden itu berlaku semalam, di Lembah Rift, kira-kira 100 kilometer di barat laut Nairobi.

Mangsa lemas bersama 13 keluarganya menetap di Nairobi dan bandar di barat Kisumu untuk bercuti di hujung minggu di tepi Tasik Naivasha, kata salah seorang ahli keluarga yang masih hidup kepada Reuters.

“Pada awalnya, mereka memutuskan untuk sekadar melawat gaung di taman negara itu tetapi mereka diberitahu oleh jurupandu bahawa kawasan itu selamat,” kata Ivraj Singh Hayer, 31.

Apabila air mula naik, beberapa ahli keluarga Hayer berjaya melompat ke kawasan sebelah ketika banjir menghanyutkan orang lain, termasuk isterinya, anak saudara, empat saudara lain dan jurupandu, sementara mereka yang masih hidup dilihat berpaut pada batu di tepi gaung, katanya.

“Jurupandu itu cuba menyelamatkan anak saudara saya namun kedua-duanya tergelincir dan dihanyutkan banjir.

“Selama lebih sejam kami terpaksa berpaut kuat sebelum air mula surut dan kami beredar kemudiannya,” kata Singh.

Mayat mereka kemudiannya ditemui kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian, kata Penolong Pengarah KWS Central Rift, Aggrey Maumo kepada pemberita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 11:05 PM