PENUNJUK perasaan membuat halangan di lapangan terbang sebelum membakarnya, semalam.
Agensi

LEBIH sedozen penerbangan dibatalkan di Hong Kong semalam, selepas ribuan penunjuk perasaan prodemokrasi menghalang laluan ke lapangan terbang Hong Kong, sehari selepas rusuhan ganas dianggap antara yang terburuk di bandar raya itu.

Sekurang-kurangnya 16 penerbangan dibatalkan, kata laman web lapangan terbang itu manakala balai berlepas dipenuhi penumpang yang sebelum itu berdepan pelbagai kesukaran untuk sampai ke situ.

Terdahulu, operator kereta api Airport Express berkata, mereka terpaksa menggantung perkhidmatan sejak tengah hari selepas penunjuk perasaan menyekat stesen bas lapangan terbang dan cuba menutup jalan utama ke terminal.

AFP melaporkan, kekecohan turut tercetus di salah satu terminal apabila penunjuk perasaan menyembur alat pemadam api, membuat halangan menggunakan troli serta memecahkan kamera pengawasan sebelum ditahan polis.

Tindakan itu menyebabkan ramai pelancong yang ingin menaiki penerbangan keluar terkandas di atas jalan dan terpaksa berjalan kaki untuk ke lapangan terbang.

Penunjuk perasaan terbabit dilaporkan turut membuat kacau di bandar Tung Chung iaitu berhampiran lapangan terbang dengan menyembur air dari paip bomba ke salah satu stesen kereta api.


SEORANG warga emas menghampiri polis supaya tidak masuk ke stesen MTR Tung Chung ketika rusuhan di Hong Kong.

Polis kemudian menahan 40 penunjuk perasaan di salah sebuah stesen kereta api selepas mereka melempar bom petrol ke arah beberapa bangunan kerajaan.

Pada masa sama, 31 orang dihantar ke hospital termasuk lima yang serius akibat kecederaan dialami dalam pertempuran dengan pihak polis.

Sementara itu, Reuters melaporkan, penunjuk perasaan bertopeng itu dikatakan sudah membuat rancangan untuk mengganggu operasi lapangan terbang sejak tiga minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:26 AM