Agensi

SACRAMENTO (Amerika Syarikat): Seorang pendatang warga China ditembak polis dalam satu operasi dadah di California kerana suspek tidak faham bahasa Inggeris ketika diarahkan mengangkat tangan dan menyerah diri, kata peguam mangsa.

Mail Online melaporkan, Li Xi Wang, 49, ditembak mati polis di bandar Chino pada 3 Julai lalu dalam satu serbuan di sebuah rumah yang dijadikan tempat menyimpan dadah jenis ganja.

Peguam lelaki itu, Daniel Deng berkata, mangsa tinggal di Amerika Syarikat sejak 2005 tetapi tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Li mungkin menyangka dia dirompak,” kata Deng dalam satu sidang media.

Katanya, peranan Li dalam aktiviti penyeludup dadah itu hanya untuk menjaga bahan terlarang berkenaan.

Keluarga Li turut memfailkan aduan terhadap pihak berkuasa bandar itu dan mengumumkan kemungkinan untuk menyaman bagi menuntut ganti rugi.

“Li diupah untuk menjaga rumah berkenaan. Dia bukannya pengedar atau penyeludup dadah. Dia hanya pekerja yang mahu mencari rezeki walaupun dengan menjaga dadah,” kata Deng.

Sementara itu, ketua polis Chino, Wes Simmons memberitahu, insiden berkenaan kini di bawah tiga siasatan berbeza dan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 7:10 AM