BAYI perempuan itu ditemui merangkak di kawasan cenuram di Nausori Highlands, Fiji. FOTO Agensi
Agensi

Suva (Fiji)Satu keluarga termasuk dua kanak-kanak ditemui maut selepas dilaporkan mengikuti upacara ritual sepasang suami isteri yang juga bomoh dari New Zealand, di sebuah kawasan terpencil di Nausori Highlands, Fiji.

Kematian keluarga itu dipercayai akibat menelan sesuatu bahan, yang belum dikenal pasti ketika ritual dijalankan.

Pada Isnin lalu, mayat sekeluarga itu ditemui seorang wanita tempatan selepas ternampak seorang bayi perempuan sedang merangkak dengan hanya memakai lampin di kawasan cenuram di situ, lapor Daily Mail.

Polis mengenal pasti mayat berkenaan sebagai Sana, 11, bersama adiknya Samara, 8, dan ibu mereka Nileshni Kajal, 34.

Datuk dan nenek kanak-kanak itu, Nirmal Kumar, 63, dan Usha Devi, 54 juga ditemui di lokasi sama, lapor media tempatan.

Bayi perempuan yang dilihat merangkak mengelilingi mayat pula dikenali sebagai Samaira Kumar, setahun, yang juga anak saudara Kumar dan Usha.

DARI kiri, Sana, Samara dan Nileshni Kajal. FOTO Agensi

“Jirannya melaporkan, keluarga itu meninggalkan rumah mereka di Legalega, Nadi pada Sabtu lalu tanpa membawa telefon bimbit dan tidak lagi dilihat selepas itu.

“Kereta Kumar ditemui di tempat letak kereta di pasar raya sejurus mayatnya ditemui. Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluarga berkenaan meletakkan kereta di situ sebelum masuk ke kenderaan lain yang datang mengambil mereka,” kata polis.

Hasil kerjasama penduduk, polis berjaya menahan seorang bomoh warga New Zealand dan isterinya yang didakwa melakukan ritual dipercayai membawa kepada kematian keluarga berkenaan.

Pasangan itu dihalang keluar dari Fiji sekali gus menyukarkan mereka melarikan diri ke negara asal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 7:01 AM