PERUSUH di Papua membakar bangunan pejabat firma telekomunikasi, Telkomunikasi Indonesia.
Reuters

JAKARTA: Kumpulan perusuh di Papua, Indonesia semalam dilaporkan bertindak membakar bangunan kerajaan sehingga pihak berkuasa terpaksa memotong elektrik di ibu negara wilayah Jayapura.

Perusuh membakar bangunan pejabat firma telekomunikasi, Telkomunikasi Indonesia. Bagaimanapun, syarikat itu belum dapat mengenal pasti jumlah kerosakan, katanya dalam kenyataan semalam.

Anggota polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang membakar kereta dan membaling batu ke arah kedai dan pejabat, kata agensi berita kebangsaan, Antara, sambil menambah kumpulan itu juga membakar pejabat parlimen tempatan.

“Beberapa kemudahan dan harta benda awam dirosakkan perusuh,” kata jurucakap polis kebangsaan, Dedi Prasetyo.

“Pihak berkuasa sedang cuba mengawal situasi.”

Syarikat tenaga negeri, Pertamina menutup beberapa stesen gas di Jayapura susulan bantahan itu, menurut jurucakap Fajriyah Usman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 9:13 PM