Al Mamduh yang pernah belajar di tiga madrasah di Dhaka mendakwa penderaan seksual berlaku secara meluas di sekolah itu. FOTO AFP
AFP

DHAKA: Bekas pelajar madrasah di Bangladesh menjadikan media sosial sebagai ruang untuk menceritakan secara terperinci pengalaman menjadi mangsa penderaan seksual guru dan pelajar senior.

Penuntut Universiti Dhaka, Hojaifa al Mamduh yang pernah belajar di tiga madrasah di Dhaka mendakwa penderaan seksual berlaku secara meluas di sekolah itu dan setiap pelajar mengetahui mengenainya.

“Ramai guru madrasah yang saya kenal menganggap hubungan seks dengan kanak-kanak adalah jenayah kecil berbanding seks luar nikah dengan wanita.

“Pelaku mudah menutup perbuatan mereka kerana tinggal di asrama sama dengan mangsa. Mereka turut memberi tekanan kepada mangsa yang miskin agar perbuatan mereka tidak terbongkar,” katanya kepada AFP.

Kisah penuntut lelaki berusia 23 tahun itu menerusi beberapa siri status di Facebook pada Julai lalu mencetuskan perdebatan hangat di Bangladesh, malah dia turut menerima ugutan.

Pun begitu, perkongsian Al Mamduh menggalakkan mangsa penderaan seks lain untuk tampil dan menceritakan pengalaman mereka.

Mostakimbillah Masum, 25, yang berkongsi kisahnya di sebuah laman web mendedahkan kali pertama dirogol pelajar senior ketika berusia tujuh tahun.

Lelaki itu memberitahu AFP, salah seorang perogol adalah guru yang membuatkan dia tidak sedar diri sebelum merogolnya.

Pengetua sebuah madrasah di Mohammadpur, Dhaka berkata satu atau dua penderaan seks yang dianggap kes terpencil berkemungkinan berlaku kerana terdapat 20,000 madrasah di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 1:44 PM