ORANG ramai melihat kesan darah di atas jalan. - AFP
Agensi

BANDAR GAZA:Hamas mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga di seluruh Semenanjung Gaza semalam selepas dua serangan bom menyebabkan tiga anggota polis di wilayah itu terbunuh.

Saksi memberitahu AFP, kejadian berkenaan adalah serangan bom bunuh diri menggunakan motosikal tetapi tiada pengesahan rasmi mengenai dakwaan itu.

Satu sumber yang terbabit dalam siasatan memberitahu, satu pergerakan salafi di Gaza dan menyokong kumpulan Daish disyaki suspek serangan berkenaan.


ANGGOTA keselamatan membawa mayat mangsa untuk dikebumikan. - Reuters

Kementerian dalam negeri Hamas mengesahkan tiga mangsa maut tetapi memberitahu hanya serangan bom di Gaza tanpa memberi maklumat lanjut.

Hamas dalam satu kenyataan berkata, dua anggota polis maut dalam dua serangan bom di pusat pemeriksaan polis pada lewat kelmarin sebelum menaikkan jumlah kematian kepada tiga orang.

Dalam serangan pertama, sebuah motosikal meletup ketika melintasi pusat pemeriksaan polis menyebabkan dua anggota polis maut dan seorang lelaki cedera.


ANGGOTA keselamatan memeriksa kenderaan di sebuah pos kawalan di Khan Younis. - Reuters

Kurang sejam selepas itu, sebutir lagi bom meletup di satu lagi pusat pemeriksaan polis mengakibatkan seorang anggota polis maut dan beberapa lagi cedera.

Kementerian dalam negeri kemudian mengisytiharkan darurat di seluruh Gaza dan pihak berkuasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Serangan bom berani mati sangat jarang berlaku di Semenanjung Gaza.

Jurucakap kementerian dalam negeri, Eyad Al-Bozom berkata, pihak berkuasa memperoleh kemajuan dalam usaha memburu dalam serangan itu tetapi enggan memberi maklumat lanjut.


KANAK-KANAK melihat pengebumian anggota keselamatan Hamas yang terkorban. - Reuters

“Tangan berdosa yang melakukan serangan ini tidak akan terlepas daripada menerima hukuman,” katanya.

Jurucakap tentera Israel pula menjelaskan pihaknya tidak terbabit dalam dua serangan berkenaan.

Pada Ogos 2017, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya dan membunuh seorang pengawal Hamas di selatan Gaza yang bersempadan dengan Mesir.

Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza sejak 2007 sering dikritik kumpulan salafi yang lebih radikal di wilayah yang dikepung rejim Zionis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 7:30 AM