SEEKOR cacing sepanjang 10 sentimeter yang dikeluarkan. FOTO youtube
Agensi

BEIJING: Seorang lelaki yang sering sakit kepala dan diserang sawan sejak 30 tahun lalu terkejut selepas doktor mengeluarkan seekor cacing sepanjang 10 sentimeter dari otaknya.

Zhang, 59, mula mengalami sakit kepala yang teruk dan sawan sejak 1989.

Dia disahkan menghidap epilepsi dan perlu bergantung pada ubat.

Walaupun mengambil ubat itu sejak 30 tahun lalu, Zhang masing mengalami sawan dan pitam termasuk pening kepala yang teruk.

Zhang berjumpa beberapa pakar dan menjalani pemeriksaan tetapi jawapan yang diterimanya tetap sama, dia menghidap epilepsi.

Bagaimanapun, pada bulan lalu dia menjalani imbasan MRI di sebuah hospital di Guangzhou dan doktor menemui kesan luar biasa pada bahagian depan otak kanan Zhang.


X-RAY menunjukkan cacing yang berada di dalam otak Zhang. FOTO youtube

Ujian darah kemudiannya mengesahkan ada parasit dalam tubuh Zhang dan selepas pemeriksaan lanjut doktor cacing sepanjang 10 sentimeter di otaknya.

Seorang doktor pakar otak, Yan Xueqiang memberitahu Global Times, meminum air sungai yang tidak dimasak atau haiwan seperti katak atau ular secara mentah boleh menyebabkan jangkitan parasit.

Zhang yang dibesarkan di kawasan pergunungan mengaku meminum air sungai dan makan katak adalah amalan biasa di kampung halamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 4:05 PM