FEDOR berjaya mendarat di ISS. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW: Kapal angkasa Russia yang membawa robot manusia pertama ciptaan negara itu berjaya mendarat di Stesen Antarabangsa Angkasa (ISS), hari ini selepas percubaan gagal minggu lalu.

Robot diberi nama Fedor iaitu ringkasan daripada ‘Final Experimental Demonstration Object Research’ atau Penyelidikan Objek Demonstrasi Eksperimen Akhir meniru pergerakan manusia dan keupayaan itu membolehkannya melakukan tugas dari jarak jauh.

Fedor berlepas ke angkasa Khamis lalu dalam kapal angkasa Soyuz MS-14 dari selatan Kazakhstan, namun gagal mendarat di ISS pada Sabtu.

Ia akan berada di ISS sehingga 7 September ini untuk membantu angkasawan di stesen itu.

Selain Russia, NASA juga pernah menghantar robot manusia Robonaut 2 yang dibangunkan dengan kerjasama General Motors ke angkasa pada 2011.

Bagaimanapun, Robonaut 2 dihantar pulang pada 2018 selepas mengalami kerosakan teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 3:27 PM