KERAJAAN Indonesia merancang menutup pulau Komodo pada Januari depan dalam usaha memulihara biawak Komodo. FOTO Agensi
Reuters

KOMODO: Kira-kira 2,000 penduduk akan dipindahkan susulan kerajaan Indonesia merancang menutup pulau Komodo pada Januari depan dalam usaha memulihara biawak Komodo.

Buat masa sekarang, pihak berkuasa mengadakan perbincangan dengan ketua masyarakat mengenai penempatan semula penduduk, kata Timbalan Gabenor Nusa Tenggara Timur, Josef Nae Soi kepada Reuters.

Kerajaan berharap penutupan pulau kepada pelancong dapat mengurangkan risiko pemburuan haram dan meningkatkan bilangan haiwan seperti rusa, kerbau dan babi hutan.

Bagaimanapun, penduduk yang menetap di pulau Komodo sejak beberapa generasi membantah rancangan memindahkan mereka.

Soi berkata, pulan Komodo dijangka dibuka semula pada tahun seterusnya, namun kerajaan merancang menjadikannya sebagai destinasi utama pelancong.

Lebih 176,000 pelancong melawat Taman Negara Komodo yang terletak di antara pulau Sumbawa dan Flores pada tahun lalu.

Kira-kira 1,700 biawak Komodo dianggarkan mendiami pulau itu.

Namun, pulau lain seperti Rinca dan Padal di taman negara yang turut didiami lebih 1,400 Komodo itu akan kekal dibuka untuk pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 12:23 PM