VIDEO kementerian pertahanan menunjukkan pesawat pejuang melepaskan ribuan liter air ke atas kawasan kebakaran. FOTO Agensi
Agensi

BRASILIA: Tentera Brazil menggunakan pesawat perang Hercules untuk memadamkan kebakaran hutan Amazon di Rondonia, susulan kemarahan dunia terhadap pemusnahan hutan hujan tropika terbesar dunia.

Video dikongsikan kerajaan Brazil menunjukkan pesawat diubah suai yang membawa ribuan liter air untuk dilepaskan atas kebakaran di Amazon itu di Rondonia, lapor Daily Mail.

Presiden Jair Bolsonaro mengerahkan operasi tentera di tujuh negeri untuk memadam kebakaran Amazon atas permintaan kerajaan tempatan, kata jurucakap pejabatnya.


ASKAR, bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran di Robore, Bolivia timur. FOTO AFP

Video dikongsikan kementerian pertahanan menunjukkan pesawat tentera melepaskan ribuan liter air ketika memasuki ruang udara dipenuhi asap berhampiran hutan.

Penduduk Porto Velho, Daliana Amorim memberitahu AFP: “Setiap tahun keadaan semakin serius. Tahun ini asap memang amat teruk.”

Sementara itu, badan alam sekitar disokong selebriti termasuk Leonardo DiCaprio menjanjikan sumbangan AS$5 juta (RM21.07 juta) untuk membantu memadam kebakaran hutan Amazon.

Earth Alliance dilancarkan Ahad lalu oleh DiCaprio, Laurene Powell Jobs - balu pengasas bersama Apple, Steve Jobs - serta Laurene Powell Jobs dan dermawan Brian Sheth, lapor Mail Online.

Pasukan dari Dana Hutan Amazon kini mengumpul derma untuk membantu pemulihan hutan hujan Brazil itu yang disifatkan ‘paru-paru Bumi.’ Wang dikumpul akan diagihkan kepada lima organisasi di Brazil yang sedang berusaha menangani masalah berkenaan.


KANAK-KANAK turut menyertai protes terhadap pemusnahan Amazon di Pantai Ipanema, Rio de Janeiro, Brazil. FOTO AFP

DiCaprio berkata di Instagram: “Earth Alliance komited membantu melindungi alam semula jadi. Kami amat bimbang dengan krisis yang sedang berlaku di Amazon, yang mengetengahkan pentingnya keseimbangan antara iklim, biodiversiti dan kesejahteraan orang asli.

Sebelum ini dia turut mengongsikan nasib masyarakat yang hidup di Amazon dalam pada kebakaran masuk minggu ketiga di hutan itu. Amazon menjadi tempat tinggal sejuta penduduk orang asli selain tiga juta spesies hidupan liar.

DiCaprio menggesa orang ramai menderma kepada kumpulan yang aktif dalam usaha memulihkan Amazon serta Rainforest Alliance, organisasi yang ‘membantu hutan tropika paling terancam dunia.’

Selain itu, katanya, pengguna perlu lebih peka terhadap pemakanan mereka dengan membeli hanya daripada syarikat yang menunjukkan kebertanggungjawaban terhadap rantaian bekalan selain mempertimbang mengurangkan makan daging lembu.

Ini disebabkan kebakaran Amazon antara lain dipercayai berpunca daripada pihak yang mahu membangunkan kawasan ladang ternak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:10 AM