PENDAKI Russia maut di Gunung Fuji. FOTO: AFP
AFP

TOKYO: Seorang pendaki Russia maut ketika mendaki Gunung Fuji selepas dihempap batu berhampiran puncak tertinggi di Jepun itu, kata polis dan laporan berita hari ini.

Polis berkata, pendaki wanita yang berusia lingkungan 20-an mengalami cedera parah ketika semakin menghampiri puncak gunung berapi setinggi 3,776 meter itu.

“Penyelamat dan doktor dikejarkan ke tempat kejadian namun mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia,” kata seorang pegawai polis tempatan.

Stesen penyiaran awam NHK dan media tempatan mengesahkan pendaki wanita itu berusia 29 tahun dan menetap di Tokyo bersama suaminya, seorang rakyat tempatan.

Susulan kejadian, satu laluan menuju ke puncak gunung turut ditutup.

Saban tahun, ratusan ribu pengunjung termasuk rakyat asing mendaki Gunung Fuji yang dianggap sebagai gunung suci di Jepun,

Musim mendaki rasmi lazimnya bermula dari awal Julai hingga akhir Ogos.

Gunung berbentuk kon terbabit yang terletak kira-kira 100 kilometer di barat Tokyo diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 10:22 PM