ANNE McClain
Agensi

WASHINGTON: Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA, menyiasat perbuatan jenayah pertama dipercayai dilakukan di angkasa lepas, lapor New York Times kelmarin.

Angkasawati Anne McClain dituduh melakukan kecurian identiti dan mengakses rekod kewangan peribadi bekas isterinya secara haram ketika menyertai misi selama enam bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Bekas isterinya, Summer Worden memfailkan aduan awal tahun ini dengan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) selepas mendapat tahu Anne mengakses akaun banknya tanpa izin, manakala keluarga Summer turut membuat aduan berasingan dengan pejabat Ketua Inspektor NASA, lapor akhbar berkenaan.

Peguam Anne berkata, angkasawati itu tidak melakukan sebarang kesalahan sebaliknya mengakses rekod bank berkenaan ketika di ISS untuk memantau kewangan yang dikongsi bersama, seperti dilakukan sepanjang hubungan mereka.

Anne mendakwa bertindak demikian untuk memastikan Summer mempunyai duit mencukupi untuk membayar bil dan menjaga anaknya yang dibesarkan bersama sebelum pasangan itu berpisah.

Penyiasat NASA kini menyiasat kes itu.

Anne yang pulang ke Bumi pada Jun lalu mencapai kemasyhuran sebagai satu daripada dua wanita dipilih untuk misi angkasa lepas membabitkan hanya wanita.

Malangnya projek itu dibatalkan NASA pada Mac lalu disebabkan kekurangan sut angkasa seterusnya mencetuskan kemarahan kerana dianggap berbaur seksis.

Summer berkata, FTC belum memberi maklumat balas mengenai laporan kecurian identiti, tetapi penyiasat dari pejabat Ketua Inspektor NASA sedang menelitinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:15 AM