KUCING bernama Beejay seberat 11.8 kilogram sedang mencari tuan baru. FOTO Mail Online
Agensi

PHILADELPHIA: Seekor kucing gemuk bermata kuyu mencuit hati pengguna Internet yang jatuh cinta dengannya di media sosial malah menyebabkan laman web pusat perlindungan yang menjaganya turut ranap.

Khamis lalu, pusat perlindungan haiwan Morris Animal Refuge mengongsikan gambar kucing berusia dua tahun seberat 11.8 kilogram bernama BeeJay di akaun Twitter mereka bersertakan keterangan ‘si montel’ itu sedang mencari tuan baru, lapor Mail Online.

“Bolehkah anda teka berapa beratnya? Tetapi lebih penting, bolehkah anda membelanya dan memberinya kasih sayang?

“Bawalah pulang pakej bulu bersaiz jumbo yang manja ini,” kata keterangan itu.

Video dikongsikan rangkaian televisyen CBS Philly menunjukkan BeeJay didukung pekerja pusat perlindungan itu dengan kucing berkenaan nampak tidak ubah bersamaan saiz kanak-kanak usia tatih atau kucing liar spesies bobcat.

Pengguna Twitter nyata meminati BeeJay dan tidak terkecuali bergurau mengenai saiz luar biasanya dengan seorang berkata: “Itu bukan kucing, itu murid tadika memakai kostum.”

Susulan itu, Morris Animal Shelter memohon maaf dengan bergurau: “Pasukan kami sedang berusaha memulihkan laman web kami. Malangnya, semuanya adalah kucing jadi mungkin memerlukan sedikit masa.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 10:01 PM