PENUNJUK perasaan mengadakan rusuhan. FOTO/AGENSI
AFP

IRUN (SEPANYOL): Polis Perancis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan anti G7 di Bayonne, selatan Sepanyol semalam, ketika ketua pelbagai negara industri berhimpun bagi menghadiri sidang kemuncak di Biarritz.

Sejak Isnin lalu, aktivis anti kapitalis, aktivis alam sekitar dan pelbagai kumpulan anti globalisasi berhimpun untuk menghadiri pertemuan di barat daya Perancis yang didakwa penganjur diadakan secara aman.

Lebih 9,000 penunjuk perasaan anti G7 mengambil bahagian dalam demonstrasi terbesar semalam dan berarak menyeberangi jambatan yang menghubungkan Perancis dan Sepanyol.

Bagaimanapun, suasana aman itu tidak lama apabila ratusan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan anti kerajaan tidak mengikut haluan ditetapkan, sebaliknya memenuhi jalan untuk mencari ruang ke pusat bandar.

Polis yang dikerahkan ke lokasi cuba menghalang kemaraan peserta dengan meletakkan penghadang.

Penunjuk perasaan cuba merempuh penghadang tetapi cuba disuraikan polis selama lebih sejam.

Peserta mula bersurai menjelang petang selepas polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Walaupun beberapa orang ditahan, pihak berkuasa tempatan masih belum mengumumkan bilangan tangkapan.

Jumlah penunjuk perasaan yang ditahan tidak didedahkan sehingga setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 1:16 PM