MERDACI letak jawatan. FOTO/AGENSI
AFP

ALGIERS: Menteri Kebudayaan Algeria, Meriem Merdaci meletak jawatan semalam, susulan kematian lima orang di konsert penyanyi rap Soolking di ibu negara, di sini, kata pejabat presiden.

Menurutnya, Merdaci menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pemangku Presiden Abdelkader Bensalah yang kemudian menerimanya.

Kejadian pada Khamis lalu mengorbankan lima orang berusia antara 13 dan 22 tahun yang datang untuk menyaksikan konsert berkenaan.

Pejabat presiden semalam turut memecat Ketua Polis Algeria, Abdelkader Kara Bouhadba yang baru dilantik pada Februari lalu.

Tiada sebab rasmi diberikan untuk penggantinya, Kalifa Ounissi tetapi sumber keselamatan berkata, ia mempunyai kaitan dengan kejadian di konsert Soolking.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 11:10 AM