SHYNAR bersama anaknya Ayaulym.
Agensi

DOKTOR tidak dapat mencari punca seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Kazakhstan yang sihat dan petah bercakap, koma sejak lapan bulan lalu, selepas masuk tidur pada malam kedua Krismas.

Menurut laporan Daily Mail, pakar di Russia dan Kazakhstan kebingungan kerana tidak menemui punca menyebabkan Ayaulym koma berpanjangan dan kini terlantar di hospital di Karaganda, Kazakhstan.

Media Russia melaporkan, Ayaulym diberi makan melalui tiub dan hanya membuka mata dalam tempoh terhad selain menangis serta bertindak balas apabila disentuh tetapi pelik tidak menunjukkan dia akan bangun daripada tidurnya.

Ibunya, Shynar Bekmagambetova berkata, pada hari kejadian, Ayaulym sihat dan masih berjaga ketika diletakkan di atas katil.

Secara fizikal, Ayaulym membesar seperti kanak-kanak normal walaupun terlantar malah 10 giginya tumbuh sejak dimasukkan ke hospital pada 26 Disember tahun lalu.

Doktor yang merawatnya beranggapan, kanak-kanak itu mengalami jangkitan virus ketika dalam rahim yang merosakkan sel otaknya dan kesan hanya berlaku selepas dilahirkan.

Media tempatan melaporkan, doktor pakar Russia dan Kazakhstan yang melakukan ujian mendapati kanak-kanak itu sihat secara fizikal tetapi tindakan neurologinya merosot.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:06 AM