KEADAAN semakin parah di hutan hujan Amazon.
AFP

PORTO VELHO: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, hari ini, berkata bercadang mengerahkan pasukan tentera bagi membantu mengawal kebakaran yang semakin merebak di Amazon.

Bolsonaro menghadapi tekanan kerana bantahan antarabangsa yang semakin meningkat kerana pembakaran hutan yang berpunca daripada tindakan khianat.

Kebakaran di hutan hujan terbesar di dunia itu mencetuskan bantahan jalanan dan perang antara Bolsonaro dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang menyifatkan kebakaran hutan itu sebagai ‘krisis antarabangsa’ dan berjanji untuk menyekat perjanjian perdagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara Amerika Selatan.

Angka rasmi terkini menunjukkan 76,720 kebakaran hutan direkodkan di Brazil sehingga tahun ini yang tertinggi sejak 2013.

Menurut Institut Kajian Penyelidikan Angkasa Kebangsaan (INPE), kira-kira 700 kebakaran terbaharu antara Rabu dan Khamis lalu, menyebabkan pencemaran udara di beberapa bandar termasuk Sao Paulo di mana kabut tebal bertukar menjadi malam.

Kerajaan Bolivia semalam menggunakan pesawat ‘supertanker’ untuk membantu memadamkan kebakaran yang memusnahkan sekitar 7,770 kilometer persegi di wilayah timur Santa Cruz sejak bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 3:51 PM