NORA Lopez adalah pencinta alam kedua yang dibunuh di Chiapas.
AFP

TUXTLA GUTIERREZ: Seorang ahli biologi Mexico ditikam sampai mati berhampiran rizab alam semula jadi di lokasi kerjanya di Chiapas, kata pihak berkuasa semalam.

Nora Lopez yang bertindak melindungi burung kakak tua merah, ditemui dengan beberapa tikaman di asramanya di Palenque pada Rabu lalu, kata pejabat pendakwa negeri Chiapas.

Dia adalah pencinta alam kedua yang dibunuh di sana, baru-baru ini.

Greenpeace dan kumpulan alam sekitar lain mengutuk pembunuhan penyelidik Nora, 43, yang mengetuai program perlindungan burung kakak tua di Aluxes Eco-Park, sebuah rizab alam semula jadi persendirian di luar bandar Palenque.

Ia adalah kawasan sama ketika Jose Luis Alvarez Flores, seorang ahli ekologi yang kerjanya melindungi monyet howler, ditemui mati dibunuh pada Jun lalu.

Menurut angka kerajaan, 120 aktivis alam sekitar terbunuh di Mexico dalam tempoh 15 tahun lalu, dalam usaha membongkarkan projek perlombongan, minyak atau infrastruktur ke atas alam sekitar.

“Kami menuntut pihak berkuasa menjadikan pembunuhan terhadap wanita dan aktivis alam sekitar di negara ini sebagai keutamaan negara,” kata Greenpeace dan beberapa kumpulan alam sekitar lain dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 2:17 PM