BARQUIN Arozamena ditikam sehingga mati selepas menyerangnya semasa mangsa bermain golf di Coldwater Golf Links. FOTO AFP
AFP

WASHINGTON: Seorang lelaki gelandangan yang membunuh pemain golf wanita Sepanyol, Celia Barquin Arozamena selepas menyerangnya di padang golf di Iowa tahun lalu, dihukum penjara seumur hidup.

Collin Richards, 22, menikam Barquin Arozamena, 22, sehingga mati selepas menyerangnya semasa mangsa bermain golf di Coldwater Golf Links di bandar Ames pada 17 September 2018.

Pelajar Universiti Iowa State itu ditemui kakitangan di padang berkenaan tidak lama selepas serangan yang berlaku pada siang hari.

Richards, yang tinggal di kawasan perkhemahan berhampiran padang golf itu, dibebaskan dari penjara kira-kira tiga bulan sebelum kejadian berkenaan.

Dia mengaku bersalah atas dakwaan membunuh darjah pertama pada Jun tahun ini.

Semalam, hakim di Story County Iowa secara rasminya mengesahkan dia bakal menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Barquin Arozamena adalah pemain golf ketiga dari Iowa State yang bakal bersaing dalam Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 12:09 PM