PENUNJUK perasaan terhadap kebakaran hutan Amazon di hadapan kedutaan Brazil. FOTO REUTERS
AFP

HELSINKI: Finland bercadang larangan ke atas daging lembu import Brazil sebagai protes tindakan Presiden Brazil Jair Bolsonaro terhadap kebakaran besar-besaran hutan Amazon, kata menteri kewangan negara itu, semalam.

Presiden Perancis Emmanuel Macron melancarkan tekanan antarabangsa terhadap Bolsonaro susulan kebakaran hutan hujan Amazon dan mengancam menyekat perjanjian perdagangan utama dengan Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Kewangan Finland, Mika Lintila mengutuk kemusnahan hutan berkenaan dan meminta EU dan Finland segera menilai larangan mengimport daging lembu Brazil.

“Sekarang ini kita memerlukan tindakan berkesan dari EU. Saya bersedia menimbulkan isu itu dengan rakan sekerja Menteri Kewangan EU, yang akan ke Helsinki pada September ini, sekiranya masih tiada ada kemajuan,” kata Lintila.

Kebakaran di hutan hujan terbesar di dunia itu mencetuskan protes di seluruh dunia dan perang mulut antara Bolsonaro dan Macron, yang menyifatkannya sebagai krisis antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 11:19 AM