GAMBAR hiasan
Agensi

PARIS: Seorang pakar bedah Perancis disyaki melakukan penderaan seksual ke atas 250 kanak-kanak, kebanyakannya ketika mangsa tidak sedarkan diri selepas dibius.

Daily Mail melaporkan, Joel Le Scouarnec, 66, pakar pembedahan abdomen didakwa menyerang kanak-kanak lelaki dan perempuan sejak tiga dekad lalu malah turut menceritakan setiap serangannya di dalam sebuah diari.

Pada 2005, dia disabitkan kesalahan memiliki imej kanak-kanak didera secara seksual tetapi dibenarkan meneruskan tugasnya sebagai pakar bedah sehingga ditahan pada 2017.

The Times melaporkan, tuduhan terbaru itu timbul susulan siasatan yang dibuat hasil dakwaan bahawa dia terbabit merogol kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun.

Le Scouarnec yang bertugas di Hospital de Jonzac di barat Perancis menafikan tuduhan terbabit namun mengaku melakukan perkara tidak sopan bersama mereka, menurut peguamnya.

Polis ketika menggeledah rumah tertuduh menemui sebuah diari yang ditulis terperinci serangan seksual ke atas 250 kanak-kanak ketika mereka menerima rawatan di hospital.

Majalah Perancis, L’Express melaporkan, ia kemungkinan kes pedofilia terbesar pernah didedahkan di negara berkenaan.

Peguam mewakili mangsa, Francesca Satta berkata, dia tidak sanggup meneruskan untuk membaca maklumat di dalam diari terbabit kerana begitu menjijikkan.

Le Scouarnec mengaku menyerang secara seksual beberapa kanak-kanak di hospital itu namun menafikan ada menulis sebarang keterangan dalam diari terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 11:08 AM