POLIS Bangladesh berjalan melepasi bas yang akan digunakan untuk bawa pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar. - AFP
AFP

TEKNAF, BANGLADESH: Tiada seorang pun pelarian Rohingya di sini, yang muncul untuk menaiki lima bas dan 10 lori disediakan pihak berkuasa pulang ke Myanmar, semalam.

Kira-kira 740,000 pelarian etnik minoriti itu melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman operasi ketenteraan Myanmar pada 2017 yang dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik.

Mereka enggan pulang ke Myanmar tanpa jaminan keselamatan serta diberi kerakyatan oleh kerajaan negara itu.

“Kerajaan Myanmar merogol, membunuh kami. Jadi, kami perlukan jaminan keselamatan dan tanpa jaminan itu, kami tidak akan pulang,” kata pemimpin Rohingya, Nosima.

Mohammad Islam, dari Kem 26 di sini, berkata: “Kami mahukan jaminan kerakyatan, keselamatan dan dikembalikan kampung halaman.”


PEMANDU bas menunggu pelarian Rohingya untuk dibawa pulang. - AFP

Bas dan lori terbabit disediakan untuk mengangkut kumpulan pertama daripada 3,450 orang yang dijadualkan dihantar pulang mulai jam 9 pagi, semalam. Namun, empat jam kemudian, kenderaan terbabit masih kosong.

“Sebelum ini, kami sudah menemuramah 295 keluarga tetapi hari ini, tiada siapa menunjukkan minat untuk pulang,” kata Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mohammad Abul Kalam.

Menurutnya, bas dan lori terbabit akan menunggu sehingga jam 4 petang.

Sebelum ini, Kementerian Luar Bangladesh mengemukakan senarai kira-kira 22,000 pelarian untuk disahkan dan Myanmar meluluskan 3,450 untuk pulang,

Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya, etnik minoriti beragama Islam sebagai warganegara sebaliknya dianggap pendatang Benggali walaupun mereka sudah berkurun tinggal di negara itu, terutama di negeri Rakhine.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 8:21 AM