ZARINA dijumpai selamat selepas empat hari operasi mencari.
Agensi

MOSCOW: Seorang budak perempuan berusia lima tahun yang hilang di dalam hutan tebal yang penuh dengan haiwan liar termasuk beruang coklat dijumpai selamat selepas empat hari operasi mencari besar-besaran dilancarkan pihak berkuasa.

Mail Online melaporkan, Zarina Avgonina sesat seorang diri di kawasan hutan di kampung Stepanovka di wilayah Nizhny Novgorod selepas cuba mengekori neneknya mengutip cendawan liar.

Pihak berkuasa pada mulanya bimbang kanak-kanak itu mungkin terjatuh ke dalam sungai atau dibaham haiwan liar di hutan berkenaan.

Anjing pengesan juga gagal mengesan jejak Zarina tetapi pasukan penyelamat berjaya menemui kesan tapak kaki kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, pasukan pencari turut menemui kesan tapak kaki beruang yang dipercayai turut menjejaki kanak-kanak itu.

Pada malam keempat operasi mencari itu pasukan pencari mengikut kesan tapak kaki berkenaan sebelum ternampak mata coklat Zarina di sebalik semak.

Ketika ditemui Zarina mengalami kekurangan air dan penat tetapi berada dalam keadaan sihat.

Satu rakaman video menunjukkan detik-detik anggota pencari menemui Zarina dalam hutan berkenaan.

“Adakah kamu takut?,” kata anggota penyelamat berkenaan ketika mendukung kanak-kanak itu.

“Tidak! Saya hanya haus dan mahu makan kek serta pulang ke rumah,” kata Zarina.

Zarina ditemui kira-kira 1.6 kilometer dari kampungnya dan dia kemudiannya dibawa ke hospital dengan menaiki helikopter.

blob:https://www.thesun.co.uk/711350c5-dc08-40cd-985a-27360ba737e4

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:54 PM