PENUNJUK perasaan dilaporkan membakar bangunan, pasar dan penjara sebagai bantahan terhadap layanan kasar penuntut mereka yang digelar sebagai rasis. FOTO Agensi
Reuters

JAKARTA: Indonesia memutuskan rangkaian internet di timur Papua untuk mengelakkan pihak tertentu memuat naik bahan berunsur provokasi yang akan memburukkan keadaan selepas penunjuk perasaan melakukan demonstrasi.

Penunjuk perasaan terbabit dilaporkan membakar bangunan, pasar dan penjara sebagai bantahan terhadap layanan kasar penuntut mereka yang digelar sebagai rasis.

Reuters yang memetik jurucakap Kementerian Komunikasi, Ferdinandus Setu berkata, pihaknya menyekat akses terhadap media sosial namun penduduk Papua masih boleh panggilan dan menghantar mesej pesanan ringkas.

“Ini adalah langkah mengelakkan penyebaran berita palsu dan paling utama menghalang orang ramai daripada berkongsi mesej provokasi yang boleh mencetuskan kebencian kaum,” katanya.

Manakala jurucakap polis Indonesia, Dedi Prasetyo berkata, seramai 20 orang ditahan di Timika setakat ini ketika penunjuk perasaan itu melempar batu ke bangunan Parlimen, rumah, kedai serta hotel semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 1:30 PM