DONALD Trump. FOTO REUTERS
AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bengang dengan kenyataan Perdana Menteri Denmark yang menyifatkan cubaannya untuk membeli wilayah berautonomi, Greenland sebagai ‘tidak masuk akal’.

Selepas beberapa jam mengumumkan untuk menangguhkan lawatan ke negara itu bulan depan, Trump menuduh Mette Frederiksen menghina seluruh AS dengan kenyataan berkenaan, lapor AFP.

Menurutnya, dia bukan Presiden AS pertama membangkitkan cadangan untuk membeli pulau Artik yang turut menjadi lokasi pangkalan udara mereka malah ia timbul sebelum Greenland menjadi sebahagian Denmark lagi.

“Perdana Menteri Denmark menggunakan perkataan yang tidak sesuai mengenai sesuatu yang sudah dibincangkan sejak bertahun-tahun lalu.

“Ia bukan satu kenyataan yang elok untuk menolak cadangan saya. Kita sudah melakukan banyak perkara untuk Denmark namun dia kata ini ‘tidak masuk akal’ pula. Ia perkataan tidak elok,” katanya.

Cadangan AS untuk membeli AS pada mulanya dianggap sebagai lucu oleh sesetengah pihak namun potensinya sebagai lokasi strategik berkembang ketika Russia dan China meluaskan kuasanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:05 AM