DA Silva memakai topeng, berbaju putih dan berseluar hitam, menahan 37 penumpang di dalam bas. FOTO Agensi
Agensi

RIO DE JANEIRO: Seorang lelaki dibunuh penembak tepat polis selepas menawan bas awam dinaiki 37 penumpang dengan bersenjatakan pistol dan pisau, yang kemudian didapati cuma senjata api mainan.

Daily Mail melaporkan, William Augusto da Silva dilaporkan menaiki bas berkenaan pada jam 5.25 pagi dan menjadikan 37 penumpangnya tebusan di atas jambatan di lebuh raya yang menghubungkan Sao Goncalo ke pusat bandar Rio de Janeiro.

Da Silva yang memakai topeng, berbaju putih dan berseluar hitam, mengancam keselamatan penumpang dengan mengugut mahu membakar bas itu di tengah-tengah jambatan.


TIGA tebusan dilepaskan termasuk dua wanita dalam masa dua jam. FOTO Agensi

Pasukan polis elit Rio de Janeiro atau BOPE, bersemuka dengannya untuk berunding bagi melepaskan tebusan, seterusnya melihat da Silva melepaskan tiga tebusan termasuk dua wanita dalam masa dua jam, lapor portal berita G1.

Jurucakap polis trafik berkata, da Silva memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis tentera, tetapi siasatan menunjukkan dia cuma pengawal keselamatan.

“Dia tidak membuat sebarang tuntutan selepas menahan 37 tebusan itu, sebaliknya nampak seperti menghadapi masalah psikologi,” kata polis kepada TV Globo.


ORANG ramai berkumpul di atas jambatan. FOTO Agensi

Da Silva ditembak polis ketika hendak keluar dari bas berkenaan. Menurut laporan, dia yang sebenarnya tidak berniat mahu mengancam penumpang diisytiharkan meninggal dunia di hospital tempatan ketika dirawat.

Rentetan kejadian itu, Gabenor Rio de Janeiro, Wilson Witschel menerusi Twitter mengucapkan tahniah kepada polis kerana berjaya menyelesaikan kes berkenaan tetapi turut bersedih atas kematian perampas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 7:20 AM