GAMBAR HIASAN
AFP

TIRANA: Sebuah restoran di Porto-Palermo dirobohkan pihak berkuasa hari ini selepas pemiliknya menyerang kenderaan dinaiki sekumpulan pelancong Sepanyol yang juga pelanggannya.

Tindakan pihak berkuasa itu selepas mendapati restoran milik Mihal Kokedhima, 51, yang beroperasi sejak tiga tahun lalu dibina tanpa permit.

Kesalahan itu terbongkar selepas Kokedhima ditahan polis susulan video dia menumbuk cermin hadapan kenderaan mangsa dan merobek kacanya sambil berpaut pada bonet tular di media sosial.

Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku selepas kumpulan pelancong terbabit tidak berpuas hati terhadap layanan di restoran terbabit dan beredar apabila Kokedhima menjadi agresif.

Ketika dibicarakan di mahkamah, Kokedhima mendakwa mangsa cuba beredar tanpa membuat bayaran.

Selain tiada permit, siasatan polis turut mendapati Kokedhima tidak membayar cukai sepanjang mengusahakan restoran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:23 PM