KETIGA-TIGA mempelai ketika dinikahkan di Kalimantan Barat, Indonesia. FOTO: Agensi.
Agensi

JAKARTA: Kerana tidak sampai hati mengecewakan dua kekasihnya, seorang pemuda di Kalimantan Barat mengambil keputusan untuk berkahwin dengan dua wanita yang dicintainya itu serentak dalam satu majlis baru-baru ini.

Menurut laporan @makassar_iinfo, pernikahan lelaki itu dengan wanita berkenaan berlansung di Dusun Pangkalan Padang, Desa Airtarap, Kecamatan Kendawangan, Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat.

Lelaki itu dilaporkan berkahwin dengan dua kekasihnya itu dengan mas kahwin masing-masing berjumlah Rp10,000 (RM2.90).

Majlis berkenaan dihadiri keluarga ketiga-tiga mempelai yang dilaporkan merestui hubungan berkenaan.

“Saya tidak sampai hati melihat ada yang terluka. Maka saya memutuskan untuk mengahwini mereka sekali gus,” kata lelaki itu.

Video pernikahan itu tular di media sosial baru-baru ini dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna.

Dalam video berkenaan menunjukkan lelaki itu duduk dan diapit dua kekasihnya ketika upacara akad nikah.

Ketiga-tiga mereka juga dilihat tersenyum gembira ke arah kamera yang merakamkan detik-detik bahagia berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 8:49 PM