VIDEO yang tular menunjukkan pelancong wanita dipercayai dari China itu mengambus lampin di dalam pasir di pantai Boracay. FOTO Agensi
Agensi

MANILA: Sebahagian kawasan pantai di Boracay ditutup selepas video tersebar menunjukkan seorang pelancong dipercayai mengambus lampin terpakai di situ.

Sepanjang 100 meter pantai Boracay ditutup pada Rabu lalu selama tiga hari untuk kerja pembersihan selepas sisa najis dikesan bercampur dengan air di situ, lapor BBC.

Video kejadian berkenaan mencetuskan kemarahan pengguna Internet selepas dimuat naik pada Selasa minggu lalu menunjukkan perbuatan jijik pelancong wanita itu.

Portal Taiwan News melaporkan wanita terbabit pelancong China.

Sementara itu, The Sun melaporkan, wanita tempatan yang merakam kejadian itu berkata, dia terkejut melihatnya ketika mandi di dalam laut.

“Kami semua terkejut dan jijik dengan perbuatan itu lalu menjerit supaya berhenti melakukannya, katanya.

Pihak berkuasa kini berusaha mengesan pelancong terbabit untuk diambil tindakan kerana melanggar ordinan alam sekitar.

Jurucakap Presiden, Salvador Panelo mengulas video itu berkata: “Kami rasa terhina dengan perbuatan biadab terhadap pulau indah ini yang baru saja dipulihkan kerajaan.”

Boracay ditutup kepada pelancong selama enam bulan tahun lalu disebabkan kebimbangan terhadap keadaan alam sekitarnya, malah Presiden Rodrigo Duterte menganggapnya semakin menjadi penakung najis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 7:40 AM