ETNIK Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada Ogos 2017 daripada serangan ketenteraan di Myanmar. FOTO fail NSTP
AFP

COX’S BAZAR: Kira-kira 3,500 pelarian Rohingya di Bangladesh dihantar balik ke Myanmar mulai minggu ini.

Seramai 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada Ogos 2017 daripada serangan ketenteraan di Myanmar sekaligus menyertai 200,000 orang sedia ada namun hampir tiada yang sukarela mahu pulang walaupun negara berkenaan menandatangani perjanjian penghantaran balik.

Pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Mohammad Abul Kalam, berkata dia optimis mengenai proses penghantaran balik baharu yang dijadualkan bermula pada Khamis ini.

Percubaan sebelumnya yang dibuat pada November 2018 untuk menghantar pulang 2,260 etnik Rohingya dilaporkan gagal selepas mereka enggan meninggalkan kem pelarian tanpa jaminan keselamatan di sana.

“Semuanya siap sedia dan pusat transit sudah dipastikan,” kata Kalam kepada wartawan selepas pertemuannya dengan pegawai Myanmar di Cox’s Bazar, Bangladesh.

“Tiada siapa dipaksa untuk pulang kecuali secara sukarela,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:31 PM