HUAWEI dianggap sebagai peneraju kepada teknologi 5G. FOTO Reuters
AFP

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) hari ini melanjutkan penangguhan 90 hari lagi atas larangan berurusan dengan Huawei dan menambah lebih 40 lagi anak syarikat gergasi teknologi China itu dalam senarai larangan berkenaan.

“Ketika kami terus menggesa pengguna beralih daripada produk Huawei, kami mendapati lebih masa diperlukan untuk mengelak sebarang gangguan,” kata Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross dalam satu kenyataan.

Larangan perniagaan berkenaan adalah antara usaha pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengenakan sekatan terhadap Huawei yang didakwa mempunyai kaitan dengan perisikan China sekali gus menjadi ancaman kepada negara itu.

Ross turut mengumumkan penambahan 46 syarikat yang mempunyai kaitan dengan Huawei disenaraikan dalam sekatan berkenaan dan menjadikan lebih 100 syarikat yang bakal disekat.

SETIAUSAHA Perdagangan AS, Wilbur Ross. FOTO AFP

Bagaimanapun, Jabatan Perdagangan melanjutkan lesen sementara kepada syarikat AS untuk firma AS menjalinkan kerjasama dengan Huawei dan anak syarikatnya selama 90 hari lagi.

Huawei adalah pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia dan dianggap sebagai peneraju kepada teknologi 5G.

Pengharaman berkenaan menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu.

Tindakan itu berlaku apabila kedua-dua negara ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perangan tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.

AS percaya telefon pintar Huawei dan peralatan rangkaian boleh digunakan China untuk mengintip rakyat AS, tuduhan yang berulang kali dinafikan Huawei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 9:41 PM