PENDUDUK Kashmir protes selepas India melucutkan status autonomi Kashmir awal bulan ini. FOTO Reuters
AFP

ISLAMABAD/SRINAGAR: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengalu-alukan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) membincangkan isu Kashmir, sehari selepas India mengecam mesyuarat luar biasa PBB itu.

Mesyuarat UNSC di New York itu adalah yang pertama sejak 1971, khusus membincangkan isu Kashmir.

Ketegangan meningkat sejak India melucutkan status autonomi Kashmir awal bulan ini, menyebabkan Pakistan menggesa masyarakat antarabangsa campur tangan.

“Menangani penderitaan rakyat Kashmir dan mencapai resolusi pertelingkahan adalah tanggungjawab UNSC,” kata Imran menulis tweet selepas rundingan di New York.

Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi berkata, negara itu memperjuangkan isu Kashmir di negara asing untuk melobi bagi kepentingan penduduk menentukan masa depan mereka.

Menurutnya, pasukan keselamatan negara itu bersedia memberi maklum balas terhadap sebarang tindakan ‘luar jangka’ India susulan mesyuarat PBB itu.

India bertegas isu Kashmir hanya dapat diselesaikan secara dua hala dengan Pakistan dan Duta India ke PBB, Syed Akbaruddin, menyuarakan perasaan berang terhadap UNSC kelmarin.

“Kami tidak memerlukan pihak antarabangsa untuk sibuk memberitahu kami bagaimana menguruskan kehidupan.

“Kami memiliki lebih satu bilion penduduk,” katanya selepas mesyuarat Majlis Keselamatan itu yang diminta Pakistan dan China.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang bercakap dengan Imran kelmarin, menggesa negara senjata nuklear itu kembali ke meja rundingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:32 AM