TENTERA Thailand memeriksa bangkai pesawat di wilayah selatan Yala. (Gambar fail)
Reuters

BANGKOK: Kumpulan utama pemberontak di selatan Thailand mengesahkan menghadiri pertemuan dengan wakil kerajaan Thailand serta sudah menyampaikan senarai tuntutan sebagai syarat bagi sebarang rundingan damai.

Pemberontakan di wilayah majoriti penduduk Islam dan berbahasa Melayu itu mengorbankan kira-kira 7,000 orang sejak 15 tahun lalu.

Menurut pemimpin Barisan Revolusi Nasional (BRN), pihaknya menemui delegasi kerajaan di sebuah negara Asia Tenggara Jumaat lalu dan menuntut pembebasan semua yang ditahan kerana didakwa terbabit dalam pemberontakan serta siasatan telus penderaan oleh pasukan keselamatan.

Anggota kanan BRN, Pak Fakir, 70, berkata, pertemuan itu boleh membawa kepada rundingan rasmi.

“Jika rundingan damai menjadi tujuan, pertemuan sulit ini seperti membawa daging lembu ke dapur tetapi lembu itu belum disembelih lagi.

“Kerajaan Thailand seperti belum dilumur minyak,” katanya

Jeneral Udomchai Thamsarorat, ketua pasukan rundingan damai mewakili kerajaan Thailand enggan mengulas sama ada pertemuan itu berlaku atau tidak.

BRN tiada sebarang rundingan dengan kerajaan namun melalui orang tengah, sudah dua pertemuan diadakan dengan bekas junta tentera Prayuth Chan-o-cha yang kini menjadi Perdana Menteri.

Pertemuan sebelum ini gagal membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan sebaliknya keganasan berterusan dengan pemberontak menuntut kemerdekaan untuk Yala, Pattani dan Narathiwat yang pernah menjadi wilayah Kesultanan Melayu sebelum ditawan Raja Siam pada 1909.

Rundingan yang ada ialah mengurangkan aktiviti tentera di selatan.

Menurut Fakir, punca utama pemberontakan itu ialah penjajahan dan isu berkenaan tidak pernah disentuh dalam perbincangan sebelum ini.

Fakir menegaskan pihaknya tidak terbabit dalam siri serangan bom kecil di Bangkok 2 Ogos lalu, yang menyebabkan empat orang cedera ringan dan memalukan kerajaan Thailand kerana berlaku ketika persidangan keselamatan ASEAN yang turut dihadiri wakil kerajaan Amerika Syarikat dan China.

“Kami tidak akan menyerang di luar tiga wilayah di selatan kerana tidak mahu dianggap pengganas. Kami ada wilayah sendiri, tidak perlu keluar dari sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:02 AM