ILHAN Omar. FOTO AFP
AFP

BAITULMAQDIS: Israel akan melarang dua ahli kongres wanita Islam Amerika Syarikat yang merancang masuk ke negara itu kerana menyokong boikot ke atas Israel yang menekan rakyat Palestin.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyifatkan tindakan luar biasa terhadap Ilhan Omar dan Rashida Tlaib, yang disokong sepenuhnya Presiden AS, Donald Trump adalah perlu kerana ‘tindakan mereka bertujuan meningkatkan hasutan dan membahayakan Israel’.

Ahli politik AS meminta Israel untuk mempertimbangkan semula keputusan itu, sementara pegawai kanan Palestin, Hanan Ashrawi melabelkannya sebagai tindakan permusuhan melampau terhadap rakyat Amerika dan wakil mereka.

Ihan berkata ia adalah keputusan yang mengejutkan dan menghina nilai demokrasi.

Ilhan dan Rashida, yang berasal dari Palestin, dijangka tiba di Israel pada hujung minggu ini untuk lawatan ke wilayah Palestin.

Israel mengumumkan keputusannya sejurus selepas Trump menggesa negara itu untuk menghalang anggota kongres wanita Demokratik terbabit.

“Israel akan dipandang rendah jika membenarkan anggota kongres Ilhan dan Rashida mengadakan lawatan itu,” tulis Trump di Twitter.

“Mereka membenci Israel dan semua orang Yahudi, dan tiada apa yang dapat dikata atau dilakukan untuk mengubah fikiran mereka. Mereka sangat memalukan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 11:13 AM