POLIS melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan ketika protes di Hong Kong, kelmarin. FOTO Reuters
Reuters

SHANGHAI: Pengguna media sosial China berang dengan syarikat belian dalam talian Amazon.com semalam susulan penjualan kemeja-T di laman webnya dengan slogan menyokong penunjuk perasaan antikerajaan di Hong Kong.

Tanda pagar ‘Amazon T-Shirts’ menjadi topik keempat sohor kini di Weibo kelmarin dalam reaksi negatif terbaru terhadap syarikat luar negara yang menyentuh isu berhubung status Hong Kong.

Tabloid Global Times yang diterbitkan akhbar kerajaan, People’s Daily berkata, kebanyakan pengguna Internet China menemui kemeja-T dijual dengan pelbagai slogan termasuk Free Hong Kong Democracy Now (bebaskan demokrasi Hong Kong sekarang) dan Hong Kong is Not China (Hong Kong bukan China).

Pengguna Internet menuduh syarikat itu tidak sensitif terhadap rakyat China, dengan seorang pengguna Weibo berkata: “Amazon sudah meninggalkan China, bukan? Kita perlu ‘mengajar’ syarikat ini.”

Syarikat e-dagang gergasi itu menutup perkhidmatan pembelian di negara itu pada Julai lalu tetapi masih menghantar barangan luar ke China.

Protes di Hong Kong menarik perhatian media di seluruh rantau itu dalam pada aktivis memenuhi ruang awam di hab kewangan global itu sejak lebih 10 minggu lalu kerana memprotes penghakisan hak awam di wilayah separa autonomi itu.

Pada awal protes, media tempatan dari tanah besar China hanya membuat sedikit liputan tetapi kini perkara itu mendominasi tajuk akhbar dan portal milik kerajaan dan swasta.

Beberapa selebriti dari tanah besar China turut memutuskan hubungan dengan beberapa jenama fesyen minggu ini selepas pengguna dalam talian menunjukkan mereka mengeluarkan pakaian yang merujuk kepada Hong Kong dan Taiwan asing daripada Republik Rakyat China.


KEMEJA-T yang mencetuskan kemarahan pengguna China. FOTO Agensi

Versace, Calvin Klein dan jenama lain mengeluarkan permohonan maaf dalam talian, sama ada di akaun media sosial China atau luar negara.

Coach, yang mendapat kecaman susulan kemeja-T yang memberi gambaran Taiwan entiti berbeza daripada China berkata, pada Mei 2018 bahawa ia mendapati ‘kesilapan serius’ pada pakaian keluarannya yang kemudian ditamatkan penjualan.

Sementara itu, semalam, duta besar China ke Britain, Liu Xiaoming menuduh pihak luar yang tidak dinamakan bertanggungjawab membangkitkan protes ganas di Hong Kong dan memberi amaran ‘usaha penuh muslihat’ mereka itu jelas dan hanya akan memakan diri.

“Bukti menunjukkan keadaan tidak mungkin menjadi begitu teruk jika tidak kerana campur tangan dan hasutan pihak luar. Hong Kong sebahagian dari China.

“Negara luar tidak patut mencampuri hal dalaman Hong Kong,” katanya.

Dia turut menuduh media Barat membuat laporan berat sebelah selain mengelirukan apa yang benar dan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 7:06 AM