TARRANT menunggu perbicaraan atas dakwaan membunuh 51 jemaah dalam insiden tembakan rambang pada 15 Mac lalu.
AFP

WELLINGTON: Jabatan Pemulihan New Zealand memohon maaf selepas pengganas kulit putih yang melakukan serangan di dua masjid di Christchurch dibenarkan menulis surat berbaur kebencian dari penjara sebelum ia dikongsi di internet.

AFP melaporkan, salah satu surat dari warga Australia, Brenton Tarrant yang dihantar kepada lelaki Russia bernama Alan, dimuat naik di laman web 4Chan.

Tarrant ditempatkan di penjara yang mempunyai kawalan ketat di Auckland sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan membunuh 51 jemaah dalam insiden tembakan rambang pada 15 Mac lalu.

Ketua eksekutif jabatan itu, Christine Stevenson berkata, surat berkenaan tidak sepatutnya dihantar dan pihaknya sudah menggantung keistimewaan yang diberikan itu sementara meneliti proses tapisan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang sebelum ini berikrar untuk tidak menyebut naman pengganas terbabit turut berang dengan tindakan berkenaan.

“Jabatan Pemulihan sendiri harus sedar dengan kelemahan ini dan individu terbabit tidak sepatutnya berkongsi mesej kebencian dari penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 10:54 AM