PEHLU Khan dipukul pelampau Hindu kerana dituduh membawa lembu untuk disembelih.
Reuters

NEW DELHI: Sebuah mahkamah di India membebaskan enam lelaki daripada tuduhan membunuh seorang lelaki Islam yang dipukul beramai-ramai kerana dituduh menyembelih lembu dengan alasan kekurangan bukti.

Keputusan itu menimbulkan keraguan pada pihak pendakwa raya mengendalikan kes berkenaan walaupun terdapat beberapa rakaman video menunjukkan mangsa dipukul, Pehlu Khan beramai-ramai hingga mati.

Pada 2017, Pehlu Khan dan dua anak lelakinya dipukul beramai-ramai oleh pelampau Hindu di negeri Rajasthan kerana dituduh membawa lembu untuk disembelih.

Video yang dirakam menggunakan telefon bimbit itu menunjukkan mangsa merayu dibebaskan sebelum mereka dipukul sekumpulan lelaki. Pehlu meninggal dunia tetapi dua anaknya selamat.

Sejak Perdana Menteri Narendra Modi berkuasa selepas parti pro-Hindu memenangi pilihan raya pada 2014, ramai penduduk Islam menjadi mangsa serangan kumpulan pelampau Hindu.

Peguam bela tertuduh, Hukum Singh Sharma berkata, mahkamah di bandar Alwar membebaskan enam lelaki berkenaan kerana pendakwa raya gagal mengaitkan mereka dengan serangan itu.

Pendakwa raya, Yogendra Singh memberitahu NDTV, mahkamah tidak menerima video berkenaan sebagai bukti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 12:13 AM