GAMBAR hiasan
AFP

BLANTYRE (MALAWI): Sebuah mahkamah di Malawi menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki dan seorang wanita yang didapati bersalah membunuh seorang lelaki albino, kata pegawai hari ini.

Pada lewat 2014, Malawi menyaksikan peningkatan serangan terhadap individu albino di mana anggota badan mereka digunakan dalam upacara ilmu hitam untuk mendapatkan kekayaan dan tuah.

Douglas Mwale, Fontino Folosani dan Sophie Jere didapati bersalah oleh mahkamah membunuh Priscott Pepuzani pada 2015 menggunakan batang besi dan kayu.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya memotong anggota badan mangsa dan menanam sebahagiannya di taman.

“Mereka didapati bersalah membunuh dan memiliki anggota badan manusia. Ketiga-tiga mereka dijatuhi hukuman mati,” kata jurucakap mahkamah, Agness Patemba.

Ketiga-tiga mereka didapati bersalah oleh mahkamah di bandar Mchinji pada Selasa lalu.

Pada Mei lalu, sebuah mahkamah di Malawi menjatuhkan hukuman mati terhadap beberapa tertuduh yang didakwa membunuh seorang lelaki albino berusia 19 tahun pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:33 PM