PENYELIDIK menunjukkan fosil penguin ‘crossvallia waiparensis’ yang hidup di New Zealand pantai di zaman Paleocene sekitar 66-56 juta tahun yang lalu, di Muzium Canterbury.
AFP

WELLINGTON: Fosil penguin gergasi dengan saiz hampir sebesar manusia dewasa ditemui di Pulau Selatan New Zealand, kata kumpulan saintis, hari ini.

Kumpulan saintis itu mengesahkan burung gergasi laut itu memiliki ketinggian mencecah 1.6 meter dan seberat 80 kilogram, kira-kira empat kali ganda lebih berat dan 40 sentimeter lebih tinggi berbanding penguin Maharaja moden.

Mereka menamakannya ‘crossvallia waiparensis’ dan spesies burung itu kerap diburu di pantai New Zealand ketika era Paleosen, kira-kira 66 juta hingga 56 juta tahun lalu.

Pemburu fosil amatur menjumpai tulang kaki milik mamalia itu tahun lalu dan ia disahkan sebagai spesis baharu dalam penyelidikan yang diterbitkan minggu ini di dalam ‘Alcheringa: An Australasian Journal of Palaeontology’.

Penyelidik Muzium Canterbury, Vanesa De Pietri berkata, ia adalah kali kedua penguin gergasi dari era Paleosen dijumpai di kawasan terbabit.

“Penemuan ini memperkukuhkan lagi teori kami, bahawa penguin mampu mencapai saiz yang lebih besar dalam evolusi mereka,” katanya.

Ada dalam kalangan saintis sebelum ini membuat spekulasi, penguin bersaiz gergasi pupus kerana kemunculan pemangsa besar lain seperti anjing laut dan ikan paus bergigi.

New Zealand sangat terkenal dengan burung gergasi yang pupus, termasuk burung moa yang tidak boleh terbang, dengan ketinggian mencapai 3.6 meter dan helang Haast yang memiliki lebar sayap sepanjang tiga meter.

Pada minggu lalu, Muzium Canterbury mengumumkan penemuan seekor burung tiung setinggi satu meter dan hidup kira-kira 19 juta tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 9:09 PM