BANTAHAN besar daripada beratus wanita di Mexico City susulan siasatan kes rogol membabitkan dua remaja. FOTO REUTERS

MEXICO CITY: Enam anggota polis digantung tugas susulan siasatan kes rogol membabitkan dua remaja yang mencetuskan bantahan besar daripada beratus wanita di Mexico City.

AFP melaporkan, bantahan itu disertai kira-kira 250 orang sebagai reaksi terhadap dua kes membabitkan remaja berusia 17 dan 16 tahun.

Mangsa berusia 17 tahun mendakwa dia dirogol oleh empat anggota polis dalam kereta peronda ketika meninggalkan parti di utara ibu kota negara itu manakala seorang lagi mangsa mendakwa dirogol polis di muzium fotografi di pusat bandar.

Bagaimanapun, seorang anggota polis sudah ditahan pada Khamis lalu membabitkan kejadian di muzium.

“Enam anggota polis sudah digantung tugas sementara siasatan diteruskan,” kata Datuk Bandar Mexico City, Claudia Sheinbaum.

Ia adalah kejadian terbaru yang mencetuskan kemarahan apabila kes keganasan terhadap wanita semakin meningkat di negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 11:55 AM