Gambar hiasan
Agensi

BEIJING: China memaksa tahanan wanita Uighur di kem ‘pendidikan semula’ supaya dimandulkan, dakwa mereka yang pernah ditahan di lokasi seumpama itu.

Seorang wanita, Gulbahar Jalilova, 54, yang mendakwa ditahan lebih setahun memberitahu stesen televisyen Perancis, dia berulang kali disuntik sejenis bahan oleh doktor ketika ditahan di penjara di Xinjiang.

“Kami terpaksa menghulurkan lengan menerusi bukaan kecil di pintu bilik tahanan. Akhirnya kami menyedari susulan suntikan berkenaan, tidak seorangpun daripada kami datang haid lagi,” katanya kepada France24.

Menurutnya, dia dan 50 wanita lain dimasukkan ke dalam satu sel tahanan ‘seperti tidak bernilai.’

Seorang lagi wanita, Mehrigul Tursun, 30, dipetik memberitahu persidangan Amnesty International, baru-baru ini mengenai pengalaman sama apabila dimandulkan tanpa disedari.

Katanya, dia rasa keletihan selama seminggu selain hilang ingatan dan murung selepas diberi pelbagai dadah ketika ditahan pada 2017.

Dia dibebaskan beberapa bulan kemudian selepas didiagnos menghidap penyakit mental dan kini tinggal di Amerika Syarikat (AS) di mana doktor memberitahu dia sudah dimandulkan.

Kedua-dua wanita itu adalah Uighur, kumpulan etnik minoriti yang disasarkan pihak berkuasa China untuk ‘dididik semula.’

Kira-kira sejuta Uighur dipercayai ditahan dalam kem seperti penjara di seluruh negara bersama anggota kumpulan keagamaan Falun Gong. Turut ditahan, anggota kumpulan etnik minoriti lain termasuk Kazakh.

Sebelum ini, wanita Uighur yang pernah ditahan di kem seumpama itu dan kini tinggal di negara Barat turut menceritakan dipaksa menggugurkan kandungan, termasuk ketika sarat hamil.

Institut Kajian Penduduk yang memperjuangkan pengharaman program kawalan populasi secara intrusif dan tidak berperikemanusiaan mendakwa, China memaksa pemandulan dalam skala besar, lapor news.com.au.

“Populasi Uighur kini kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan populasi China.

“Bagi mengawal dan mengurangkan pertumbuhan semula jadi populasi begitu sama sekali seperti penghapusan dan pembunuhan beramai-ramai.

“Polisi kawalan kelahiran dengan memaksa wanita menggugurkan kandungan atau dimandulkan memang bertujuan menghapuskan mereka sedikit demi sedikit menggunakan kaedah politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

China mendakwa, mereka yang ditahan berisiko bersikap ekstremis. Program ‘pendidikan semula’ terhadap golongan Uighur dikecam masyarakat antarabangsa kerana didakwa turut membabitkan penyeksanaan, malah tribunal antarabangsa, baru-baru ini turut mendapati ia dikaitkan dengan pasaran gelap penjualan organ.

Menurut The Independent, Kerajaan China menggambarkan pusat tahanan itu seperti ‘sekolah berasrama’ yang menawarkan latihan vokasional. Bagaimanapun, bekas tahanan menceritakan pengalaman diseksa selain dipaksa makan daging babi serta menyanyi lagu politik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:44 AM