WANITA itu diseret empat anggota polis bertopeng. FOTO Agensi
AFP

MOSCOW: Kementerian Dalam Negeri Russia mengarahkan siasatan terhadap video yang tular di media sosial menunjukkan polis pencegah rusuhan menumbuk perut seorang wanita ketika perhimpunan menuntut pilihan raya telus di Moscow.

Video itu yang ditonton lebih 360,000 kali menunjukkan seorang wanita diseret empat anggota polis bertopeng dalam seragam antirusuhan dan seorang daripada mereka menumbuk perut mangsa tanpa sebab.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai di media dan media sosial.

Dalam temu ramah dengan laman web Mediazona, wanita berkenaan, Daria Sosnovskaya, 26, berkata, dia diseret polis kerana membantah penahanan seorang lelaki kurang upaya.

“Anggota polis berlari ke arah saya sebelum mengheret dan menumbuk perut.

“Tubuh menjadi kejang, saya tidak boleh bernafas,” katanya.

Menurutnya, dia dibawa ke balai polis bersama tahanan dan tidak dibenarkan menghubungi peguam atau sesiapa sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian dengan amaran.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, siasatan dalaman kes itu sudah dimulakan dan berjanji mereka yang bersalah akan dipertanggungjawabkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:27 AM