Agensi

NEW DELHI: Seorang lelaki ditahan kerana meracun dan membunuh tiga harimau bintang di Taman Negara Rajaji di Haridwar sebagai membalas dendam selepas haiwan itu memakan anjing peliharaannya.

Times Of India melaporkan, Sukhpal mengaku salah melakukan perbuatan itu dan memberitahu dia marah selepas harimau bintang berkenaan membawa lari seekor anak anjingnya dan membunuh seekor lagi.

Sukhpal berkata, dia meletakkan racun serangga pada bangkai anjing berkenaan sebelum membuangnya ke dalam hutan.

Pada 5 Ogos lalu, tiga bangkai harimau bintang ditemui di beberapa lokasi di taman negara itu dan bedah siasat mendapati perut haiwan berkenaan mengandungi daging anjing yang diracun.

Penyiasat kemudiannya mendapati racun serangga pada daging anjing yang ditemui dalam perut harimau bintang itu digunakan oleh nurseri jabatan hutan.

Mereka mendapati isteri Sukhpal bekerja di nurseri itu sebagai pekerja kontrak.

Selepas membuat siasatan secara terperinci, penyiasat berjaya mengaitkan Sukhpal dengan pembunuhan itu dan menahannya.

Sukhpal ditahan reman selama 12 hari dan dijangka didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:19 AM